1MDB: Keputusan Lucut Hak RM2 Juta UMNO Pahang 9 Januari

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 9 Januari tahun depan berhubung keputusan permohonan pihak pendakwaan bagi melucut hak wang berjumlah RM2,479,300.18 yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada UMNO Pahang yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh dan peguam, Mohd Shukri Ahmad Mansor yang mewakili Badan Perhubungan UMNO Bahagian Pahang yang merupakan responden.

Farah Yasmin berkata, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab pihak responden untuk memulangkan harta tersebut melalui dua pilihan.

“Dua pilihan itu adalah sama ada secara sukarela memulangkan kembali harta tersebut atau melalui permohonan hari ini iaitu membenarkan mahkamah melucut hak duit tersebut kepada kerajaan Malaysia,” katanya semasa pendengaran permohonan itu hari ini.

Terdahulu, Mohd Shukri dalam hujahnya berkata, wang RM2,479,300.18 yang disita itu bukan daripada cek yang diberikan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada responden.

“Sepertimana yang dinyatakan dalam afidavit responden, kesemua wang tersebut telah digunakan untuk memanfaatkan rakyat melalui kegiatan dan program yang dijalankan oleh responden.

“Wang yang disita sekarang ini adalah wang daripada sumber yang lain, bukan daripada sumber 1MDB atau sumber kerajaan Arab Saudi. Ia adalah wang politik yang didapati daripada sumber lain,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya berkata, permohonan pelucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) yang suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank Najib.

Loading...