1MDB: Baik Sungguh Hati Jho Low – Shafee

KUALA LUMPUR – Saksi kesembilan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azrai Ibrahim Halmi memberitahu mahkamah, Low Taek Jho atau Jho Low tidak menerima sebarang bayaran untuk jawatannya sebagai Penasihat Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Shahrol, yang juga bekas Ketua Eksekutif TIA yang kemudian ditukar nama kepada 1MDB mendakwa bukanlah pelik Jho Low tidak menerima sebarang bayaran kerana diakui oleh ahli perniagaan itu bahawa dirinya mewakili kerajaan negeri Terengganu sebelum mewakili Kerajaan Persekutuan.

Saksi itu berkata demikian ketika disoal peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee: Adakah Jho Low pernah dibayar apa-apa untuk perkhidmatannya di TIA?

Shahrol: Tidak di bayar.

Shafee: Jadi Jho Low bekerja ‘pro bono’ (percuma) untuk TIA tetapi kemudian mengambil berbillion ringgit begitu? Mengapa seorang ahli perniagaan licik sepertinya yang banyak menghabiskan masa melakukan kerja tidak dibayar apa-apa? Baik sungguh hatinya.

Shahrol: Ini bukan pro bono kerana kata beliau dirinya mewakili kerajaan negeri Terengganu kemudian wakil untuk kerajaan Persekutuan.

Shafee: Bagaimanapun, dia tidak dibayar apa-apa.

Shahrol: Ya, tidak dibayar.

Dalam pada itu, Shahrol juga memberitahu tentang sikap Jho Low yang suka menggunakan kertas mahal jenis ‘Conqueror’ yang selalunya akan menyebabkan mesin pencetak tersekat kerana penggunaan kertas tersebut.

Perbicaraan 1MDB yang melibatkan penyewelengan dana sebanyak RM2.3 bilion dengan dakwaan penglibatan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika masih memegang jawatan perdana menteri. Beliau juga berhadapan dengan 21 pertuduhan lain termasuk penggubahan wang serta salah guna kuasa melibatkan dana sama.

Prosiding masih lagi berjalan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah ketika ini. – MalaysiaGazette

Loading...