1MDB: Akaun UMNO, Parti Politik Dibekukan

PUTRAJAYA – Pasukan Petugas Khas 1MDB mengesahkan telah membekukan sejumlah akaun milik individu dan beberapa organisasi termasuk UMNO serta parti-parti politik yang dipercayai terlibat dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Dalam kenyataannya hari ini, Pasukan Petugas Khas 1MDB itu menyatakan bahawa akaun milik persatuan dan syarikat yang terlibat dalam siasatan kes berkenaan juga dibekukan.

“Pasukan Petugas Khas 1MDB memberi jaminan bahawa siasatan dijalankan secara adil dan profesional serta mengikut undang-undang yang ditetapkan,” kata pasukan itu.

Ia turut meminta semua supaya pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa melaksanakan proses siasatan tersebut serta tidak membuat sebarang spekulasi dan mensensasikan kes berkenaan kerana dikhuatiri menjejaskan proses siasatan.

Pasukan petugas itu diketuai bersama oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang kini Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC); Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador. – BERNAMA

Loading...