190 Anggota, Pegawai Polis Positif Dadah

KUALA LUMPUR – Seramai 190 anggota dan pegawai polis termasuk enam daripadanya berpangkat tinggi didapati positif ujian dadah dalam ujian saringan awal sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, ujian itu sebahagian daripada operasi Op Blue Devil sejak 13 Ogos lalu.

“Kita terpaksa menangkap orang kita sendiri, ia sebahagian daripada tugas polis bagi memastikan pasukan ini berintegriti. Operasi akan diteruskan sehingga kita berjaya membersihkan Polis Diraja Malaysia daripada penyalahgunaan dadah.

“Anggota dan pegawai polis yang didapati positif pelbagai jenis dadah kini sedang disiasat dan digantung bertugas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pagi tadi.

Menurutnya mereka yang didapati bersalah akan dipecat dan dikenakan tindakan termasuk pertuduhan di mahkamah.

Sementara itu, Mohd Khalil berkata,pihaknya menahan 468 individu dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM6.45 juta melalui Op Damn Tokan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di seluruh negeri, Selasa lalu.

“Polis menahan 443 lelaki dan 25 wanita dipercayai mengedar dadah secara kecil-kecilan. Ujian urin dilakukan pula mendapati 21 positif dadah.

“Kita turut menyita wang tunai, barang kemas dan kenderaan dipercayai digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM 1.22 juta,” katanya.

Loading...