171 Penduduk Pasir Gudang Tuntut Ganti Rugi RM30 Juta

JOHOR BAHRU – Seramai 171 penduduk Pasir Gudang termasuk pelajar dan nelayan memfailkan saman tuntutan ganti rugi RM30 juta di Mahkamah Tinggi di sini semalam berhubung pencemaran Sungai Kim Kim, Mac lalu.

Saman tuntutan ganti rugi itu difailkan plaintif terdiri daripada 34 pelajar sekolah rendah dan menengah, lapan orang awam serta 129 nelayan ke atas 12 defendan melalui Tetuan Kamarudin & Partners.

Antara defendan yang dinamakan ialah kerajaan negeri Johor, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian; bekas Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

Peguam Kamarudin Ahmad berkata, seramai 42 plaintif memohon suatu perintah agar kerajaan negeri Johor membiayai kos pemeriksaan kesihatan bagi tempoh tiga tahun dari tarikh penghakiman.

“Plaintif yang sama turut memohon suatu perintah agar kerajaan negeri membiayai kos rawatan selama 10 tahun dari tarikh penghakiman jika mengalami masalah perubatan berbangkit.

“Antara asas tuntutan plaintif ialah pihak defendan pertama hingga ketujuh gagal memastikan keselamatan dan perlindungan kepada penduduk di Pasir Gudang daripada ancaman pencemaran sisa toksik,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kamarudin berkata, manakala 129 plaintif yang terdiri daripada nelayan pula menuntut ganti rugi khas antara RM15,000 hingga RM30,000 seorang.

Jelasnya, tuntutan ganti rugi dipohon kerana pendapatan mereka merundum ekoran pencemaran itu menyebabkan orang ramai takut untuk membeli hasil laut daripada nelayan terdiri daripada tujuh buah kampung di sepanjang Sungai Kim Kim.

Beliau memberitahu pengurusan kes permohonan saman itu akan dibuat dalam masa tiga bulan dan perbicaraan dijangka berjalan pada November depan.

Loading...