1,700 Penduduk Palestin Bakal Cacat

GENEVA – Dianggarkan kira-kira 1,700 penduduk Palestin yang cedera akibat terkena tembakan pasukan tentera rejim Zionis bakal berdepan dengan risiko cacat dalam tempoh dua tahun akan datang apabila anggota badan yang cedera terpaksa dipotong akibat kekurangan bekalan perubatan.

Penyelaras Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jamie McGold­rick berkata, seba­nyak 29,000 penduduk Palestin ce­dera dalam siri tunjuk pe­rasaan pada tahun lalu dan 7,000 daripadanya mempu­nyai luka tembakan terutamanya pada bahagian kaki.

“Terdapat kira-kira 1,700 pesakit dalam keadaaan kritikal dan memerlukan bantuan perubatan segera termasuk proses pembedahan yang sukar bagi membolehkan mereka berjalan semula.

“Mereka merupakan golo­ngan yang amat memerlukan prosedur pemulihan dan jika tindakan itu gagal dilakukan, penduduk Palestin ini bakal kehilangan kaki dan menjadi cacat,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Arab News.

Sehubungan itu, PBB berusaha memohon dana berjumlah AS$20 juta (RM83 juta) bagi memenuhi jurang per­belanjaan kesihatan untuk penduduk Palestin.

SEJUTA PENDUDUK TERJEJAS

Selain itu, McGoldrick menjelaskan, kekurangan dana dalam Program Makanan Sedunia (WFP) dan Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) juga boleh menjejaskan bekalan makanan untuk sejuta penduduk Palestin.

“Sekiranya bantuan dana dihentikan, tiada alternatif untuk penduduk mendapatkan bekalan makanan kerana mereka tidak mempunyai kuasa membeli,” jelasnya.

Jurucakap WFP, Herve Verhoosel pula berkata, kekura­ngan sumbangan dana yang besar sebelum ini menyebabkan agensi tersebut terpaksa memotong bantuan untuk 193,000 penduduk di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat pada tahun ini dengan 27,000 daripadanya tidak memperoleh apa-apa.

HUTANG BELENGGU KEHIDUPAN

Dalam pada itu, kira-kira dua juta penduduk Palestin di Gaza juga berdepan situasi sukar, ditambah dengan sekatan oleh rejim Zionis.

Menurut McGoldrick, secara purata setiap keluarga di Gaza berdepan dengan jumlah hutang sebanyak AS$4,000 (RM16,607) sedangkan mereka hanya memperoleh gaji bulanan AS$400 (RM1,660), selain 54 peratus daripada populasi tersebut tidak mempunyai pekerjaan.

Sementara itu, para artis Palestin menyeru barisan bintang Eurovision supaya memboikot pertandingan nyanyian antarabangsa yang dianjurkan oleh Israel minggu depan.

Menurut Persatuan Artis Palestin di Semenanjung Gaza, Israel menggunakan pertan­dingan tersebut untuk ‘mempromosikan rejim aparteid’.

“Lebih 60 penduduk Pa­lestin terbunuh dalam siri tunjuk perasaan di Gaza pada 14 Mei tahun lalu, hari yang sama Israel memenangi pertandi­ngan Eurovision,” jelas persa­tuan tersebut. – Agensi

Loading...