17 Pelajar Sekolah Ditahan Dalam Parti Liar

SERAMAI 17 pelajar sekolah menengah termasuk tiga perempuan antara 22 individu ditahan polis dalam parti liar di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur kelmarin.

Mereka yang berusia antara 15 hingga 22 tahun ditahan dalam serbuan 3 pagi oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, dalam serbuan itu enam individu membabitkan lima lelaki dan seorang perempuan positif mengambil dadah.

Katanya, polis turut merampas dua paket mengandungi dadah jenis ketamin seberat 1.8 gram, tiga pil ekstasi, dua pil erimin 5, satu botol cecair ketum seberat 1.5 liter dan satu ketulan mampat daun kering dipercayai ganja seberat 4.3 gram.

“Dalam serbuan di kondominium itu, polis menahan 17 lelaki dan lima perempuan yang sedang mengadakan parti.

“Empat belas lelaki dan tiga perempuan adalah pelajar sekolah menegah di sekitar Lembah Klang manakala tiga lelaki dan dua perempuan lagi sudah tamat sekolah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, semua individu berkenaan direman empat hari bermula semalam mengikut Seksyen Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, polis menyeru ibu bapa supaya lebih prihatin terhadap kegiatan serta pergaulan anak masing-masing bagi mengelakkan mereka terjerumus dalam kegiatan menyalahi undang-undang. – myMetro Online

Loading...