17 Laporan Dakwaan Cabul, Ugut Berkait Bekas CEO Telco

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat seorang bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat telekomunikasi, selepas menerima 17 laporan sejak 2013 membabitkan dakwaan mencabul, menceroboh dan membuat ancaman maut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, dakwaan lelaki itu mencabul anaknya diteliti semula sejak minggu lalu, manakala laporan menceroboh rumah dan membuat ancaman maut kepada bekas isterinya masih disiasat.

“Daripada 17 laporan polis yang dibuat sejak 2013 atau 2014, ada di antaranya ialah NFA (tiada tindakan lanjut), manakala yang lain seperti kes menceroboh dan ugutan masih di bawah siasatan,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bungkusan Kuih Raya sempena Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Terdahulu, Jason Lo hari ini mengugut akan mengambil tindakan undang-undang terhadap The Star atas dakwaan beliau “mencabul kehormatan” anaknya.

Lo mengecam laporan muka depan akhbar berbahasa Inggeris itu yang disifatkannya “tidak patut dan tidak bertanggungjawab” tanpa memasukkan fakta utama.

Beliau mendakwa bekas isterinya mempergunakan akhbar itu untuk merosakkan reputasinya, susulan perceraian mereka 4 tahun lalu.

Ia susulan The Star pada Sabtu lalu melaporkan seorang bekas CEO telco mencabul anaknya dan ditahan 2 minggu lalu atas dakwaan menceroboh rumah dan membuat ancaman maut terhadap bekas isterinya.

Hari ini, Huzir enggan menyatakan berapa kes Lo yang diklasifikasikan NFA.

“Jika ada keperluan membuka semula kes itu, kami akan berbuat demikian.”

Katanya, secara umum, kes yang dikategorikan NFA tidak bermaksud polis tidak menyiasatnya, tetapi disebabkan tiada bukti kukuh dan kurang keterangan.

“Sebab itu peguam negara tidak boleh teruskan pendakwaan di mahkamah kerana takut kalah sebab bukti tak cukup.”

Beliau berkata, kenyataan itu tidak merujuk khusus kepada kes Lo, tetapi bagi semua kes NFA secara umum. – FMT

Loading...