16 Tanah Milik Kementerian Pertahanan Diceroboh

KUALA LUMPUR – Sebanyak 16 lokasi tanah milik Kementerian Pertahanan dikenal pasti terbabit dengan aktiviti pencerobohan sehingga Mei lepas.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan pencerobohan itu melibatkan aktiviti pertanian, pembinaan struktur, pembinaan rumah setinggan dan rumah ibadat serta pembalakan haram.

“Keseluruhan tanah dengan keluasan 1,165,933.73 ekar milik Kementerian Pertahanan kini sedang diduduki Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai tapak kem tentera, tapak lapang sasar serta kawasan perumahan Angkatan Tentera.

“Tanah Kementerian Pertahanan boleh diklasifikasi kepada empat kategori iaitu Tanah Milik Persekutuan, Tanah Rizab Seksyen 62 Kanun Tanah Negara, Tanah Rizab Fasal 166 Perlembagaan Persekutuan dan tanah di Bawah Akta Maneuver 1983,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan pencerobohan tanah dilakukan orang awam itu boleh memberi pelbagai implikasi termasuk kerajaan akan mengalami kerugian kerana tanah-tanah milik Persekutuan Kegunaan Kementerian Pertahanan tersebut telah diduduki secara haram dan tidak mendatangkan hasil.

Pendudukan secara haram itu juga boleh mendatangkan isu keselamatan terutama tanah-tanah yang dijadikan sebagai kawasan tapak lapang sasar dan manuver sehingga membahayakan keselamatan penceroboh sekiranya pihak tentera mengadakan operasi dan latihan ketenteraan di kawasan tersebut.

“Pencerobohan ini juga akan membantutkan perancangan pembangunan ATM kerana kesukaran untuk mengeluarkan pengusaha tanah secara haram dari kawasan diceroboh,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan telah mengambil tindakan dengan mengemukakan permohonan melaksanakan penguatkuasaan kepada Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri serta mengeluarkan Notis Pengosongan Tapak kepada pihak penceroboh.

Selain itu, beberapa cadangan tindakan yang akan diambil kementerian iaitu pemasangan pagar di atas keseluruhan tanah dan papan tanda Kawasan Larangan atau Kawasan Tentera serta mewujudkan perjanjian penyewaan atau pajakan tanah tertakluk kepada perancangan pembangunan daripada pihak tentera.

“Kementerian juga akan memohon perintah mahkamah bagi memerintahkan penceroboh mengosongkan tapak dan memerintahkan pihak berkuasa negeri untuk menjalankan operasi penguatkuasaan tanah dan penyerahan semula tanah kepada pihak Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan.

“Orang awam dinasihatkan agar tidak menceroboh dan jika berminat boleh mengemukakan permohonan kepada JKPTG kerana tanah milik Persekutuan kegunaan kementerian telah mempunyai pembangunan tersendiri,” menurut kenyataan itu.

Loading...