15 Negara Muktamad RCEP Tanpa India

KUALA LUMPUR – Sebanyak 15 negara yang terlibat dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) telah memuktamadkan rundingan pada malam ini tanpa penyertaan India, sekali gus membuka laluan bagi pemeteraian perjanjian perdagangan yang disifatkan sebagai terbesar di dunia.

RCEP yang melalui proses rundingan getir selama tujuh tahun, berjaya diputuskan seiring dengan berakhirnya Sidang Kemuncak ke-35 ASEAN, malam tadi.

Pengumuman yang dibuat menerusi kenyataan bersama pemimpin selepas Mesyuarat RCEP Ketiga, bagaimanapun menyatakan bahawa India tidak menyertai usaha itu kerana masih berdepan isu-isu penting tertangguh yang terbukti belum dapat dileraikan.

“Kami mengambil maklum bahawa 15 negara terlibat dalam RCEP telah memuktamadkan rundingan berasaskan teks membabitkan kesemua 20 bahagian dan secara asasnya meliputi isu akses pasaran masing-masing; dan telah mempertanggungjawabkan ini diperhalusi dari segi perundangan bagi tujuan pemeteraian pada 2020.

“Semua negara terbabit itu akan bekerjasama untuk menyelesaikan isu tertangguh menerusi kaedah yang dapat memuaskan semua pihak. Keputusan akhir India akan bergantung kepada resolusi memuaskan membabitkan semua isu tersebut,” kata kenyataan itu.

Perjanjian itu dijangka dapat dimeterai pada tahun depan.

Terdahulu, semua pemimpin Asean dan enam rakan dialognya iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand menghadiri mesyuarat berkenaan.

Malaysia telah diwakili oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

Menurut kenyataan itu, RCEP mampu memacu prospek pertumbuhan rantau ini secara ketara pada masa depan selain menyumbang secara positif kepada ekonomi global serta berperanan sebagai teras sokongan kepada sistem perdagangan pelbagai hala dan menggalakkan pembangunan ekonomi merentasi rantau ini.

“Sejajar dengan persekitaran global yang pesat berubah, pemuktamadan rundingan RCEP ini akan turut memaparkan komitmen kolektif kita terhadap perdagangan dan persekitaran pelaburan yang terbuka di serata rantau ini.

“Kita membincangkan satu perjanjian yang bertujuan melonjakkan perkembangan serta memperkukuh rantaian nilai serantau demi manfaat perniagaan (rantau ini) termasuk perusahaan kecil dan sederhana serta pekerja, pengeluar dan penggunanya,” kata kenyataan itu.

RCEP dilancarkan pada 2012 di Phnom Penh, Kemboja dan ini disusuli dengan rundingan berkaitan pada 2013.

Selain itu, RCEP dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak AS$49.5 trilion juga membentuk 39 peratus daripada KDNK global.

Sementara itu, Darell menyuarakan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan negara lain RCEP bagi memuktamadkan rundingan untuk pemeteraian perjanjian berkenaan pada 2020.

“RCEP adalah satu testimoni (bukti) bahawa negara terlibat ini dapat bersatu dengan mengetepikan perbezaan pembangunan ekonomi demi perpaduan integrasi ekonomi,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Darell berkata RCEP yang diterajui ASEAN, akan memberi peluang ekonomi kepada industri, perusahaan kecil dan sederhana serta pekerjaan di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global selain meningkatnya dasar perlindungan.

“Kerajaan telah berusaha untuk memastikan kepentingan domestik Malaysia, termasuk membabitkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Pelan Induk Perindustrian baharu, turut mendapat jaminan dalam perjanjian RCEP tersebut,” katanya.

Loading...