15 Kes Baharu Covid-19 Hari Ini, Tiada Kematian

MALAYSIA mencatatkan 15 kes baharu positif Covid-19 sehingga jam 12 tengah hari ini dengan jumlah keseluruhan 9,038 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 10 daripadanya adalah kes penularan tempatan dan lima lagi adalah kes import.

“10 kes jangkitan tempatan dilaporkan membabitkan Kedah (6), Negeri Sembilan (2), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1) dan Labuan (1).

“Manakala satu kes import dilaporkan di Kuala Lumpur dan empat lagi kes direkodkan di Sabah,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19, di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, semua individu yang disahkan positif itu sudah diasingkan untuk pengawasan dan rawatan lanjut.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini hanya dua kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, tiada kematian dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi menjadikan kes kematian kekal sebanyak 125. – myMetro Online

Loading...