15 Kes Baharu COVID-19 Dengan 11 Jangkitan Tempatan

PUTRAJAYA – Sebanyak 15 kes baharu COVID-19 yang melibatkan 11 kes penularan dalam negara dan empat kes import dilaporkan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif wabak berkenaan sebanyak 9,129 kes setakat ini dengan kes aktif kebolehjangkitan COVID-19 berjumlah 183 kes.

Katanya kes penularan dalam negara itu membabitkan 10 rakyat Malaysia merangkumi satu kes saringan prapembedahan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur dan sembilan kes daripada kluster baharu Tawar di Kedah.

Satu kes lagi melibatkan bukan warganegara yang dikesan melalui saringan sebelum bertolak ke luar negara, katanya.

“Empat kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan semua rakyat  Malaysia yang pulang dari Indonesia dan Yaman,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini.

Menurutnya empat kes import terbabit melibatkan tiga di Selangor dan satu di Kuala Lumpur.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak empat kes pulih daripada COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang sembuh sebanyak 8,821 kes iaitu 96.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham turut berkata tiada kes kematian berkaitan virus itu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes maut kekal 125 kes.

“Sehingga kini, dua kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. – BERNAMA

Loading...