15 Kes Baharu Covid-19, 7 Pulih

SEBANYAK 15 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari, hari ini, sekali gus merekodkan 8,815 kes positif keseluruhan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 15 kes baharu itu, empat adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan tiga warganegara dan satu bukan warganegara dan mereka pulang dari Belanda, Arab Saudi, United Kingdom serta Indonesia.

Beliau berkata, selain itu, 11 kes penularan tempatan membabitkan 10 warganegara dan satu bukan warganegara iaitu aitu kes saringan kemasukan baharu ke Depot Tahanan Imigresen (DTI) Semuja, Sarawak.

“Perincian 10 kes penularan dalam negara dalam kalangan warganegara Malaysia adalah lapan kes di Sarawak iaitu lima kes daripada Kluster Sentosa, satu kes daripada Kluster Pusat Perubatan Kuching; satu kes daripada Kluster Stutong dan satu kes saringan kendiri (beliau adalah penjaga kepada pesakit yang dirawat di sebuah pusat perubatan).

“Selain itu, satu kes saringan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) yang dimasukkan ke Hospital Ampang, Selangor dan satu kes saringan Influenza Like Illness (ILI) dan dimasukkan ke Hospital Tawau, Sabah.

“Sehubungan itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah kepada 130 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan di hospital,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat tujuh kes pulih dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih meningkat kepada 8,562 kes dengan kadar kesembuhan 97.1 peratus.

Beliau berkata, sehingga kini, empat kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 123 kes iaitu 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – myMetro Online

Loading...