1,495 Kluster Tempat Kerja Punca 134,230 Kes Positif COVID-19

KUALA LUMPUR – Jangkitan COVID-19 di tempat kerja dan dalam komuniti, mendominasi penularan wabak itu di negara ini, membabitkan kes kluster sepanjang tahun ini.

Data Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan sejumlah 2,139 kluster tempat kerja dan komuniti dikesan antara 1 Januari hingga semalam, berbanding keseluruhan 2,605 kluster kes COVID-19 yang direkodkan tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 176,095 kes positif COVID-19 dikesan membabitkan kluster tempat kerja dan komuniti, yang merangkumi 82 peratus daripada keseluruhan 214,884 kes membabitkan kluster wabak itu tahun ini.

Data KKM menunjukkan, sebanyak 1,495 kluster tempat kerja yang membabitkan 134,230 kes positif dikesan tahun ini, disusuli 644 kluster komuniti dengan sejumlah 41,865 kes.

Jumlah kes positif kluster tempat kerja tahun ini mencatat peningkatan lebih 150 peratus berbanding 53,574 kes tahun lalu, manakala kes positif kluster komuniti merekodkan lonjakan lebih 300 peratus berbanding hanya 9,908 kes tahun lalu.

Turut mencatatkan lonjakan ketara adalah kluster pendidikan yang merekodkan 12,764 kes positif daripada 187 kluster sepanjang tahun ini, berbanding hanya 785 kes daripada 16 kluster tahun lalu, iaitu peningkatan lebih 16 kali ganda.

Dalam pada itu, data KKM menunjukkan daripada 23 kluster baharu semalam yang membabitkan lebih 600 kes positif, 13 daripadanya adalah kluster tempat kerja, manakala baki 10 kluster lagi adalah penularan dalam komuniti.

Daripada 13 kluster tempat kerja yang dikesan, enam daripadanya adalah dalam kalangan pekerja kilang membabitkan 120 kes, atau lebih separuh daripada keseluruhan kes positif bagi kluster tempat kerja.

Kluster komuniti turut merekodkan jumlah kes tinggi dengan 410 kes keseluruhan, yang berpunca daripada majlis pengebumian dan aktiviti ziarah-menziarahi, selain saringan bersasar, kontak rapat dan individu bergejala.

Semua 23 kluster jangkitan COVID-19 yang direkodkan semalam, dikesan di 10 negeri iaitu Kelantan, Johor, Kedah, Selangor, Melaka, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Terengganu, Pulau Pinang dan Perak.

Jumlah kluster tertinggi semalam dicatatkan di Johor iaitu tujuh kluster, dengan lima daripadanya di tempat kerja dan baki dua lagi adalah penularan dalam komuniti.

Berdasarkan data KKM, penularan dalam komuniti dilihat mencatatkan peningkatan sejak Isnin lalu dengan 23 kluster komuniti yang membabitkan hampir 1,000 kes dikesan.

Penularan di tempat kerja pula merekodkan 31 kluster dengan 649 kes positif dalam tempoh berkenaan, dengan 276 kes daripadanya membabitkan pekerja kilang. – BH Online