14 Ketua AMK Negeri Sokong Wan Azizah Rasmi Kongres

KUALA LUMPUR – Peraturan Tetap Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR 2014 memberi kuasa kepada Majlis Pimpinan untuk menguruskan sepenuhnya hal ehwal pengurusan Kongres Nasional tahunan sayap parti itu.

Tidak ada sebarang klausa yang menetapkan atau menghadkan mana-mana individu yang perlu diundang untuk merasmikan Kongres AMK.

Justeru, 14 Ketua AMK negeri mengalu-alukan keputusan Majlis Pimpinan AMK yang menetapkan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail merasmikan kongres berkenaan.

“Kami yakin dan percaya keputusan ini dibuat setelah mesyuarat menimbang tara semua keadaan yang perlu. Ini juga adalah satu pengiktirafan atas segala jasa bakti Dr. Wan Azizah selama beliau memimpin PKR sejak 1998.

“Oleh itu kami menyeru agar semua anggota AMK untuk sama-sama merapatkan muafakat dengan hadir beramai-ramai ke Kongres Nasional Tahunan AMK 2019 pada 6 Disember nanti,” kata kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan itu menyenaraikan 14 Ketua AMK Negeri iaitu Ketua AMK Johor, Yuneswaran Ramaraj; Muhd Hafiz Muhd Kasasi (Kelantan); Ketua AMK Wilayah Persekutuan, Naim Brundage; Ketua AMK Melaka, Prasanth Kumar Brakasam; Ketua AMK Perlis, Nor Azam Karap dan Fahmi Zainol (Pulau Pinang).

Turut dalam senarai itu, Ketua AMK Sarawak, Saifunnizam Sam; Mohd Mustaqim Abdul Jalil (Pahang); Ahmad Izzuddin Ismail (Negeri Sembilan); Mohamad Hairul Amir Sabri (Perak); Najwan Halimi (Selangor); Mohd Huzaifah Md Suhaimi (Terengganu); Raymond Ahuar (Sabah) dan Mohammed Firdaus Johari (Kedah).

Semalam, dilaporkan 21 daripada 25 Ahli Majlis Pimpinan Pusat AMK PKR, membantah keputusan parti itu membatalkan jemputan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi merasmikan Kongres Nasional sayap itu di Melaka, 6 Disember depan.

Bantahan itu dinyatakan melalui kenyataan bersama mereka diketuai Timbalan Ketua AMK, Hilman Idham. – BH Online

Loading...