14 Individu Ditahan Reman Lindungi Rumah Urut

PUTRAJAYA – Tujuh penjawat awam termasuk seorang ketua polis balai ditahan reman selama empat hari mulai hari ini hingga 22 Mac depan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melindungi dan menerima wang sogokan daripada pemilik pusat urut di sekitar Kuala Lumpur.

Selain itu, turut ditahan reman bagi tempoh sama ialah tiga orang awam yang berperanan sebagai perantara bagi mengutip wang sogokan berkenaan setiap bulan.

Sementara itu, empat suspek lain yang juga pemilik pusat urut tersebut ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama lima hari hingga 23 Mac depan berhubung kes sama.

Difahamkan, tujuh penjawat awam itu terdiri daripada seorang pegawai dan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), tiga kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Kesemua suspek masing-masing berusia 29 hingga 54 tahun menerima perintah tahanan reman selepas Majistret Tuan Ahmad Asyraf Mohammad Kamal membenarkan permohonan SPRM.

Terdahulu, empat suspek tiba Mahkamah Majistret Putrajaya di sini pada pukul 9 pagi dengan menaiki van manakala 10 individu lain dibawa menaiki bas dan tiba pada pukul 10 pagi.

Kesemua suspek memakai baju lokap SPRM berwarna oren dan tangan bergari.

Kosmo! semalam melaporkan, SPRM menahan seramai 16 individu termasuk seorang ketua balai polis kerana dipercayai terlibat dalam melindungi dan menerima wang sogokan daripada pemilik pusat urut di ibu kota.

Menurut sumber, kesemua yang terlibat ditahan di antara pukul 10 pagi hingga 5 petang semalam di 16 lokasi sekitar Lembah Klang hasil daripada risikan yang telah dilakukan sejak tiga bulan lalu.

Seramai tujuh penjawat awam dan sembilan orang awam ditahan selepas dipercayai terbabit melindungi dan menerima wang sogokan daripada pemilik pusat urut berkenaan.

“Kumpulan suspek terbabit menerima wang sogokan secara bulanan dengan bayaran minimum RM1,000 setiap bulan,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM 2009. – K! ONLINE

Loading...