1,371 Kes Baharu Covid-19, 4 Kematian Hari Ini

KUALA LUMPUR – Jangkitan Covid-19 dalam negara mencatatkan 1,371 kes baharu dan empat kematian baharu hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 meningkat kepada 84,846 kes dengan kebolehjangkitan pula sebanyak 13,830 kes

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan bilangan kes sembuh Covid-19 sebanyak 1,204 kes sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 70,597 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat satu kes import mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan dalam negara pula adalah 1,370 kes.

“Selangor masih melaporkan kes harian tertinggi iaitu 532 kes di mana 344 kes adalah daripada kluster sedia ada.

“Ia diikuti oleh Sabah sebanyak 283 kes dan Negeri Sembilan sebanyak 260 kes,” katanya pada sidang media Covid-19, di sini, hari ini.

Menurutnya, jumlah kumulatif kes kematian pula sebanyak 419 kes dengan empat kematian yang dilaporkan hari ini.

“Sehingga kini, terdapat 114 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 62 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. – myMetro Online