13 Remaja Gaduh Gara-Gara Guna Kata Kesat ‘Tiada Dokumen’

LAHAD DATU – Polis menahan tujuh daripada 13 remaja perempuan dipercayai terlibat dalam pergaduhan di tepi padang bandaran di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata kesemua remaja berusia antara 14 dan 17 tahun itu ditahan di Kampung Pisang dan Kampung Panji di sini.

“Kejadian didakwa berpunca apabila pelajar perempuan dari Kampung Pisang membuat tuduhan kesat terhadap pelajar perempuan dari Kampung Panji, kononnya perempuan Kampung Panji ‘tidak mempunyai dokumen’ dan ‘selalu keluar-masuk di hotel’.

“Ekoran tuduhan itu, tujuh pelajar perempuan Kampung Panji mengajak enam pelajar perempuan Kampung Pisang untuk berbincang, namun berlaku pertengkaran mulut seterusnya pergaduhan melibatkan kesemua mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Nasri berkata tiada kecederaan serius dilaporkan dalam pergaduhan itu.

“Tujuh pelajar yang ditahan merupakan warga tempatan dan direman hari ini, manakala polis masih mengesan baki enam pelajar lagi,” katanya menambah pelajar itu diminta secara sukarela menyerah diri.

Nasri berkata video pergaduhan 13 pelajar perempuan berkenaan turut tular di laman sosial sejak semalam.

Loading...