13 Kluster Baharu Covid-19 Dikenal Pasti

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 13 lagi kluster baharu hari ini membabitkan tempat kerja, komuniti dan kumpulan berisiko tinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sr Dr Noor Hisham berkata, 13 kluster itu membabitkan 10 kluster tempat kerja, dua kluster komuniti dan satu kumpulan berisiko tinggi di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Sabah, Sarawak dan Terengganu.

Menurutnya, kluster tempat kerja adalah Jalan Kota Murni, Jalan Murni 12, Jalan Tun Mutahir, Jalan Indah Utama, Parit Haji Khamis, Kompleks Perabut, Jalan Sementa, Singgahmata, Kejatau dan Jalan Kuchai.

“Kluster komuniti pula adalah Jalan Green dan Bukit Petiti sementara kumpulan berisiko tinggi adalah kluster Kubang Jambu.

“Setakat hari ini jumlah keseluruhan kluster akibat Covid-19 adalah 1,058 kluster manakala kluster yang sudah tamat adalah 547 termasuk lapan kluster hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, lapan kluster yang ditamatkan itu adalah Kluster Halban, Kluster Tombovo, Kluster Kauran, Kluster Kubang Bujuk, Kluster Tapak Bina Jalan Yap, Kluster Jalan Perwira, Kluster Jalan Indah Gemilang dan Kluster Tembok Nanas,

“Sementara itu kluster yang masih aktif sebanyak 511 dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Jalan Murni 12 (339 kes), Kluster Jalan Perindustrian Pelepas (179 kes), dan Kluster Industri Tekstil Nilai (113 kes),” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – myMetro Online