13 Januari Sebutan Semula Kes Ibu, Rakan Bunuh Bayi

PUTRAJAYA – Mahkamah Majistret di sini hari ini, menetapkan 13 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dua rakan serumah, termasuk ibu kepada bayi mangsa dera hingga meninggal dunia, November lalu.

Majistret Shah Wira Abdul Halim turut menetapkan tarikh itu untuk penyerahan dokumen kedua-dua tertuduh, Nor Aisyah Mohd Yunus, 37, dan rakan serumahnya, Nor Aisyah Ibrahim, 33, dari pakar Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Ini disebabkan laporan pakar belum dapat disediakan dan kedua-dua tertuduh masih berada di hospital berkenaan.

Pada 15 November lalu, mereka didakwa di mahkamah sama atas tuduhan mendera Muhammad Alfateh Hamdi, 23 bulan, di Blok D, Jalan P5A/5, Presint 5, di sini, antara pertengahan September hingga 4 November lalu.

Kedua-duanya yang mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan, kemudian diarah menjalani pemeriksaan di Hospital Bahagia Ulu Kinta kerana ada sejarah keluarga menghidap penyakit mental.

Berikutan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Sabit kesalahan, membawa hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd Apandi, manakala Nor Aisyah Mohd Yunus yang juga ibu mangsa diwakili oleh peguam Najib Zakaria dan tertuduh kedua diwakili peguam Hamdan Hamzah.

Pada 5 November lalu, sepasang suami isteri ditahan susulan kematian bayi lelaki mereka berusia setahun 11 bulan pada 4 November, dipercayai didera dengan lebih 80 kesan lebam, lecur dan calar baru serta lama ditemui di seluruh badan mangsa.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali, dilaporkan berkata, pasangan berusia 42 dan 37 tahun yang menetap di Sungai Merab itu ditahan di pekarangan Hospital Serdang.

Polis turut menahan seorang wanita yang juga rakan serumah ibu mangsa di Putrajaya pada 8 November lalu, dan ketiga-tiga suspek terbabit ialah penjawat awam. – BH Online

Loading...