1,285 Kes Baharu Covid-19, Selangor Tertinggi

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,285 kes positif Covid-19 dilaporkan hari ini, dengan Selangor mencatatkan kes harian baharu tertinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 17 adalah kes import membabitkan lapan warganegara dan sembilan bukan warganegara, manakala 1,268 lagi kes tempatan.

Katanya, jumlah terbaru itu menjadikan kumulatif kes di negara ini adalah 355,753, dengan 14,203 kes aktif.

“Sebanyak 1,175 kes sembuh, manakala empat kematian dilaporkan hari ini membabitkan dua kes di Selangor dan masing-masing satu di Sabah dan Sarawak. 

“Sebanyak 186 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 81 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada 374 kes di Selangor, 292 daripadanya adalah dari kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan. 

“Ia diikuti Sarawak sebanyak 211 kes (16.4 peratus) dan Pulau Pinang sebanyak 162 kes (12.6 peratus).

“Sebanyak 105 kes (8.2 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di penjara dan Depot Tahanan Imigresen (DTI) yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (89 kes); Kluster Tembok Sri Aman (6 kes); Kluster Pagar Bukit Chagar (4 kes); Kluster Tembok Taiping (2 kes); Kluster Tembok Pengkalan Chepa (2 kes); Kluster Tembok Mempaga (1 kes); dan Kluster Tembok Tapah (1 kes),” katanya. – myMetro Online