127 Pesakit Pulih, 14 Kes Baharu Covid-19 Hari Ini

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 14 kes baharu positif koronavirus (Covid-19) termasuk dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) yang bertugas di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, kes baharu tersebut melibatkan tiga kes import dan 11 penularan tempatan.

“Tiga kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan dua warganegara Malaysia dan satu warga asing yang merupakan pemastautin tetap,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, 11 kes penularan di dalam negara melibatkan tujuh warga asing dan empat rakyat tempatan.

“Bagi kes melibatkan warga asing, KKM mengesan masing dua kes di Kuala Lumpur dan Sarawak manakala Selangor, Sabah dan Perak merekodkan satu kes,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, dua kes positif di kalangan rakyat tempatan dikesan melibatkan pegawai Imigresen di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil.

“Dua kes lagi dikesan Sarawak yang mana satu daripadanya dikesan semasa saringan pra pembedahan di Hospital Umum Sarawak.

“Satu kes lagi dikesan ketika membuat saringan untuk ke luar negara bagi urusan penting,” katanya.

Katanya, pertambahan kes tersebut menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 meningkat kepada 8,529 kes.

Bagaimanapun, kes aktif dengan kebolehjangkitan terus menurun kepada 408 kes selepas 127 pesakit Covid-19 telah pulih dan dibenar pulang hari ini.

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,000 kes bersamaan dengan 93.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, empat pesakit Covid-19 ditempatkan di unit rawatan rapi.

“Bagaimanapun, tiada kes memerlukan bantuan pernafasan dan kes kematian kekal pada 121 kes selepas tiada kes kematian berkaitan Covid-19 direkodkan,” katanya. – Sinar Harian

Loading...