Boleh Buktikan Tidak Peroleh Bayaran Balik GST

KUALA LUMPUR – Sebanyak 121,429 individu dan syarikat boleh membuktikan bahawa mereka tidak memperoleh bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh dua minggu seperti ditetapkan Peraturan/Perintah Akta GST 2014, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian bagi menangkis kenyataan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menafikan kegagalan kerajaan Barisan Nasional dalam membuat bayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion dalam tempoh yang dijanjikan.

“Kini beliau cuba menggunakan Laporan Ketua Audit Negara mengenai kedudukan bayaran balik GST bagi tempoh sehingga 5 Jun 2018 untuk menyatakan bahawa audit semakan masih belum siap dan hanya RM1.4 bilion sahaja yang diluluskan dan dihutang untuk bayaran balik GST.

“Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah mengeluarkan kenyataan dan mengesahkan semakan audit ke atas permohonan tuntutan pulang balik sebanyak RM19.47 bilion telah selesai dilaksanakan dan RM19.47 bilion telah diluluskan untuk dibuat bayaran pada akhir bulan Julai 2018,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata, bagaimanapun tiada dana yang cukup dalam Tabung Amanah Bayaran Balik GST untuk membayar tunggakan tuntutan bayaran balik ini, kerana hanya ada RM148.6 juta ataupun kekurangan RM19.2 bilion.

“Perlu ditegaskan bahawa saya hanya bongkarkan skandal RM19.4 bilion yang tidak dibayar balik dalam dua minggu di dalam Majlis Dewan Rakyat pada 9 Ogos 2018, dan bukan pada 5 Jun 2018.

“Di bawah Seksyen 54 Akta GST 2014, semua bayaran GST yang dikutip mesti dibayar terus kepada tabung amanah GST untuk membolehkan bayaran balik dibuat.

“Malangnya ini tidak dilakukan oleh kerajaan lama tetapi dibayar terus kepada Akaun Hasil Disatukan, yang menyalahi undang-undang GST,” katanya.

Katanya Akaun Hasil Disatukan hanya mempunyai RM450 juta pada 30 April 2018 dan jumlah itu tidak mencukupi untuk dipindahkan kepada Tabung Amanah GST untuk bayaran balik GST tertunggak dan oleh yang demikian kerajaan terpaksa bergantung pada sumbangan dividen Petronas untuk membayar balik GST tertunggak sebanyak RM19.4 bilion pada tahun 2019.​​​​​​​

Berkaitan dengan tuntutan bayaran balik tunggakan berjumlah RM0.9 billion, Lim berkata JKDM telah menyatakan bayaran balik adalah kepada dua syarikat milik kerajaan seperti yang telah dinyatakan.

“Tuntutan tersebut adalah berpunca daripada pelepasan yang diberikan oleh Kementerian Kewangan di bawah peruntukan Seksyen 56(3) Akta GST 2014 bagi tuntutan cukai input yang telah dibayar oleh syarikat.

“Saya difahamkan sebanyak RM187.8 juta telah dibayar. Tidak ada sebarang kehilangan dana kerana kedua-dua syarikat adalah milikan 100 peratus kerajaan persekutuan,” katanya. – BERNAMA

Loading...