120 Pelajar SMAKJ Keracunan Makan Mi Goreng

JOHOR BAHRU – Seramai 120 orang pelajar Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor (SMAKJ) dekat Kluang mengalami keracunan makanan selepas dipercayai menikmati sarapan mi goreng di dewan asrama sekolah berkenaan, pagi semalam.

Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Aman Rabu menerusi satu kenyataan hari ini berkata semua pelajar itu, bagaimanapun berada dalam keadaan stabil dan hanya dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

“Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kluang menerima satu notifikasi mengenai satu kejadian keracunan makanan yang melibatkan pelajar-pelajar daripada SMAKJ, pada 10.20 pagi semalam.

“Makluman awal diterima 10 pelajar daripada sekolah tersebut mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Mengkibol, Kluang dan lebih kurang 60 orang pelajar dalam perjalanan ke HEBHK, bagi pemeriksaan lebih lanjut,” katanya.

Aman berkata verifikasi kejadian kemudian dilaksanakan pada 11 pagi semalam dan siasatan serta langkah kawalan wabak turut dilaksanakan pada hari yang sama.

Beliau berkata siasatan lanjut oleh pihak PKD Kluang kemudian mendapati terdapat seramai 120 orang daripada bilangan 474 orang yang terdedah, mengalami gejala sakit perut, cirit-birit, loya, muntah, sakit kepala dan demam.

Katanya makanan yang disyaki dalam keracunan makanan itu adalah mi goreng yang dihidang pada sarapan pagi, namun, siasatan lanjut masih dilakukan oleh PKD Kluang bagi mengenalpasti punca sebenar keracunan makanan berkenaan.

Menurut Aman, sampel klinikal daripada kes-kes, persekitaran serta pengendali sudah dihantar ke makmal untuk analisa manakala pemeriksaan terhadap dapur dewan asrama juga dijalankan oleh Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan PKD Kluang.

“Penutupan sementara dapur asrama sudah dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk tujuan disinfeksi premis dan siasatan lanjut.

“Pendidikan kesihatan sudah diberikan kepada pengetua sekolah, guru-guru dan pelajar di sekolah tersebut. Semua pelajar dinasihati mengamalkan langkah lihat, hidu, dan rasa sebelum makan untuk mengelakkan kejadian keracunan makanan dan mengamalkan tahap kebersihan yang baik,” katanya dengan menambah kejadian keracunan itu adalah dalam keadaan terkawal.

Loading...