12 Tan Bantuan Etnik Rohingya Tiba Di Chittagong

KUALA LUMPUR – Misi Kemanusiaan-Negaraku Prihatin yang membawa 12 tan bantuan makanan dan keperluan untuk diserahkan kepada pelarian Rohingya semalam, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Shah Amanat, Chittagong, Bangladesh, 7 malam semalam (waktu Malaysia).

Jurucakap Angkatan Tentera Malaysia (ATM), berkata bantuan antaranya, lampin pakai buang, tuala, beras dan biskut itu dihantar ke Chittagong dari Pangkalan Udara (PU) Subang menggunakan pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan dikendalikan Mejar Yusrizal Zain dan Mejar Wan Azrul Wan Azmy.

Katanya, misi berkenaan diketuai Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Laksamana Muda Datuk Pahlawan Mohamd Adib Abdul Samad dengan turut disertai lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), wakil Pejabat Perdana Menteri dan wakil sukarelawan iM4U.

“Ketibaan pesawat bersama bantuan itu disambut oleh Komodor Udara Bangladesh, Morshed Hasan Siddique; Timbalan Pesuruhjaya Daerah Chittagong, M D Jillur Rahman dan Timbalan Pesuruhjaya Bahagian Chittagong, Shankar Ranjan Saha.

“Sejurus kemudian, satu acara ringkas diadakan iaitu penyerahan bantuan kemanusiaan sumbangan kerajaan dan rakyat Malaysia kepada wakil kerajaan Bangladesh untuk diagihkan kepada pelarian Rohingya,” katanya.

Katanya, pesawat bersama rombongan kemudiannya kembali ke tanah air pada jam 12.00 tengah malam tadi dan selamat tiba di PU Subang pada jam 4.00 pagi tadi.

Misi bantuan itu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam bagi membantu pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada penindasan di Myanmar.

Selain bantuan itu, satu pasukan peninjau akan turut dihantar ke Dhaka esok untuk berbincang dengan kerajaan Bangladesh mengenai tindakan susulan yang diambil dalam membantu pelarian etnik Rohingya. – BH ONLINE