12 Pekerja MAHB Dipanggil Polis Kes Gangguan Sistem KLIA

SEPANG – Polis telah memanggil seramai 12 orang pekerja Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes gangguan sistem yang dialami di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah berkata, empat orang daripada jumlah individu yang hadir memberi keterangan merupakan pekerja dari bahagian teknologi maklumat syarikat itu.

“Kesemua yang dipanggil terdiri daripada pelbagai bahagian di MAHB. Bagaimanapun, mereka yang dipanggil telah dilepaskan selepas memberi keterangan.

“Kita menjangkakan akan memanggil lebih ramai individu untuk membantu siasatan. Kes ini akan mengambil sedikit masa kerana ia melibatkan aspek teknikal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Akhbar Kosmo! baru-baru ini melaporkan, beberapa sistem di KLIA di sini mengalami gangguan pada 21 Ogos lalu.

Gangguan itu melibatkan kemudahan jalur lebar tanpa wayar atau WiFi, paparan maklumat penerbangan balai pelepasan dan kaunter mengambil bagasi.

Ekoran gangguan sistem itu, sebanyak 20 penerbangan yang dilaporkan ditangguh di terminal utama KLIA dan penerbangan terjejas termasuk ke Narita, Jepun; Perth, Sydney dan Melbourne, Australia; Jakarta, Indonesia; London dan Hong Kong pada 22 Ogos lalu.

Operasi KLIA pulih seperti sediakala pads 25 Ogos lalu selepas selama empat hari mengalami gangguan sistem itu.

Susulan kejadian itu, MAHB telah membuat laporan polis berhubung gangguan sistem di KLIA dan polis telah menjalankan siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan khianat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin dalam satu kenyataan berkata, MAHB tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian di KLIA mulai Rabu lepas disebabkan perbuatan berniat jahat.

Bagaimanapun, pihaknya memberi kuasa penuh kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan terperinci mengenai kejadian tersebut. – K! ONLINE

Loading...