1,139 Kes Baharu COVID-19, 4 Kematian, 1,199 Pulih

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 1,139 kes positif baharu COVID-19 hari ini, menjadikan keseluruhan kes jangkitan akibat wabak itu sejumlah 354,468 kes di negara ini setakat tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Sarawak mencatatkan bilangan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 332 kes, diikuti Selangor dengan 294 kes dan Johor (102).

Beliau berkata, tiada kes jangkitan COVID-19 dilaporkan di Putrajaya dan Perlis hari ini.

Ketika ini Selangor masih lagi mencatatkan jumlah kes jangkitan paling banyak sejak awal penularan COVID-19 di negara ini iaitu sebanyak 118,328 kes, disusuli Sabah (55,294); Johor (41,956) dan Kuala Lumpur (38,408). 

Dr Noor Hisham berkata, ketika ini kes aktif adalah sebanyak 14,097.

Katanya, sebanyak 1,126 daripada 1,139 kes yang dilaporkan hari ini membabitkan jangkitan tempatan iaitu 1,001 terdiri daripada rakyat negara ini dan 125 warga asing manakala tujuh daripada 13 kes import adalah rakyat tempatan dan enam lagi warga asing.

“Seramai 194 kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 86 memerlukan bantuan pernafasan. 

“KKM turut merekodkan sebanyak empat kematian baharu membabitkan rakyat tempatan, menjadikan jumlah kumulatif kematian berkaitan COVID-19 di negara ini sebanyak 1,304 kes atau 0.37 daripada kes yang direkodkan,” katanya.

Sementara itu, KKM mencatatkan sebanyak 1,199 kes pulih, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19 adalah sebanyak 339,067 kes atau 95.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes direkodkan di negara ini. – BH Online