11 Kluster Baharu COVID-19 Dikesan

PUTRAJAYA – Bilangan kluster jangkitan COVID-19 aktif di negara ini turut meningkat apabila sebanyak 11 kluster dikesan setakat tengah hari tadi.

Kluster berkenaan dikesan di Selangor, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur dan Terengganu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dengan peningkatan itu, jumlah kluster aktif di Malaysia setakat ini adalah sebanyak 242 kluster.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga ingin memaklumkan terdapat 11 kluster baharu yang dikenal pasti pada hari ini iaitu Kluster Jalan Playar, Kluster Sri Suria, Kluster Tapak Bina Bukit Semenyih, Kluster Bukit Angkat, Kluster Parit Jamil, Kluster Tombovo, Kluster Tapak Bina Jalan Desa, Kluster Jalan Raja, Kluster Langit Selatan, Kluster Bah Sayap dan Kluster Mengkuang.

“Jumlah kluster yang tamat pula adalah sebanyak 306 kluster. Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau sebanyak 242 kluster.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 53 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini. Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Jalan Perindustrian (200 kes), Kluster Tapak Bina Jalan Desa (116 kes), dan Kluster Beringin (65 kes),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini. – BH Online