11 GRO Warga Asing Ditahan Di P.Pinang

GEORGE TOWN – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan sembilan wanita warga Vietnam dan dua wanita warga China, semuanya berumur antara 20 dan 30 tahun yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Burma di sini malam tadi.

Timbalan Penolong Pengarah JIM Pulau Pinang Izham Idris berkata semua wanita itu cuba melarikan diri ke belakang pusat hiburan, namun pihaknya terlebih dahulu mengepung pusat hiburan tersebut dalam Ops Ikrar yang dijalankan penguatkuasa JIM negeri kira-kira pukul 10 malam.

“Cubaan mereka meloloskan diri dengan keluar menerusi laluan khas di bahagian belakang pusat hiburan itu gagal kerana pihak kami berjaya mengesan serta menahan 11 wanita warga asing berkenaan,” katanya dan menambah kesemua mereka disiasat kerana menyalahguna pas lawatan sosial mereka dengan bekerja sebagai GRO.

Sementara itu dalam serbuan berasingan di sebuah hotel bajet di Jalan Pintal Tali, di sini, Izham berkata pihaknya menahan tiga wanita India dan seorang wanita Thailand berumur antara 23 dan 37 tahun yang dipercayai bekerja sebagai pelacur.

Beliau berkata tiga wanita India itu didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri manakala wanita Thailand berkenaan menyalah guna pas lawatan sosial, dan menurutnya dalam operasi yang bermula pukul 11.30 malam itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai seorang pelanggan.

Katanya semua yang ditahan dibawa balik ke Pejabat Imigresen di Seberang Jaya untuk didokumentasi sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Juru untuk siasatan lanjut. – BERNAMA

Loading...