106 Serbuan, 108 Individu Ditahan Dalam Op Dadu

KOTA KINABALU – Polis di sini terus memperhebatkan usaha membanteras kegiatan perjudian haram apabila sebanyak 106 serbuan dilakukan dan seramai 108 invididu ditahan termasuk pemilik premis perjudian tidak berlesen dalam Op Dadu yang dijalankan sepanjang Januari sehingga kini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata kesemua individu ditahan adalah warga tempatan masing-masing 81 lelaki dan 27 perempuan berumur 16 hingga 59 tahun kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian haram seperti loteri haram, perjudian dalam talian dan perjudian nombor ekor haram.

“Sebanyak 13 kompter riba; sembilan set komputer; 82 telefon bimbit; daun terup dan wang tunai RM101,914 telah dirampas dalam operasi itu. Jumlah keseluruhan rampasan bernilai lebih kurang RM152,000.

Setakat ini, sebanyak 29 kes tangkapan telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Habibi berkata polis akan meneruskan Op Dadu bagi membasmi kegiatan serta sindiket perjudian haram di Kota Kinabalu dan pihaknya mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk memberi maklumat berkaitan aktiviti jenayah itu bagi membantu polis menjalankan siasatan. – BERNAMA

Loading...