10,000 Tan Makanan, Plastik Terbuang Awal Ramadan

JERANTUT – Kira-kira 10,000 tan makanan yang masih elok dan plastik terbuang setiap hari, sejak awal Ramadan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata peningkatan pembuangan bekas plastik dan makanan itu mengancam sistem saliran seperti perparitan dan sungai.

Katanya, perbuatan itu dilakukan oleh penduduk setempat, peniaga pasar malam, bazar Ramadan dan kedai makan yang boleh membawa kepada pencemaran.

Selain bekas plastik, beliau berkata, amalan membuang makanan yang masih elok juga menjadi tabiat penduduk dan kedai makanan yang juga boleh menjejaskan sistem saliran dan mengakibatkan pencemaran bau di tempat tinggal.

“Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menganggarkan kira-kira 10,000 tan makanan yang masih elok dan plastik terbuang sehari di seluruh Semenanjung Malaysia pada awal bulan Ramadan.

“Jumlah ini dijangka meningkat kerana semakin ramai pengguna berbelanja sehingga berakhir bulan Ramadan. Malahan, pada hari biasa juga amalan yang sama berlaku dalam kalangan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Majlis Undi Perdana Kerja di Bawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar dan Air bagi Jabatan Pengairan Saliran Pahang di Jerantut, hari ini.

Yang hadir sama, iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah dan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali.

Tuan Ibrahim berkata, membuang makanan yang masih elok terutamanya di bulan Ramadan tabiat yang membazir dilarang oleh agama Islam kerana makanan boleh diberi kepada golongan yang memerlukan.

“Pembuangan plastik boleh menyebabkan sistem saliran tersumbat yang akan berlaku banjir kilat. Sekiranya sungai dan laut dipenuhi plastik atau sisa buangan, boleh wujud pencemaran serta mengancam hidupan air.

“Kita mempunyai perancangan tidak ada lagi penggunaan dan pembuangan sisa plastik pada 2030, sekali gus tidak lagi timbul masalah berdepan pencemaran air, termasuk gangguan sistem perparitan,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, penduduk dan peniaga kedai makan atau kilang sepatutnya membuang sisa makanan, plastik, barang keperluan dapur yang sudah tidak digunakan ke tempat yang disediakan seperti tong sampah yang akan dipungut oleh pekerja Alam Flora dan SWCorp.

Katanya, pembuangan sampah secara teratur dapat membantu kerajaan mengurangkan kos kerja pembersihan sistem perparitan di bandar. – BH Online