10 Tahun Penjara Hina Islam ‘Berlebihan’ – Kit Siang

VETERAN DAP, Lim Kit Siang berkata tindakan mahkamah menjatuhi hukuman 10 tahun penjara terhadap seorang pengguna media sosial yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad sebagai berlebihan.

“Semua rakyat Malaysia harus mendukung Perlembagaan dan menghormati semua agama di Malaysia, namun tidak perlu ada hukuman yang terlalu berat seperti hukuman 10 tahun penjara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, pemilik akaun Facebook “Ayea Yea” dijatuhi hukuman penjara 10 tahun 10 bulan atas 10 pertuduhan memuat naik komen berbentuk penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad.

Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak, yang membuat keputusan itu mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM)1998, turut mengarahkan hukuman penjara itu dijalankan secara berasingan.

Selain “Ayea Yea”, polis turut memfailkan pertuduhan terhadap 3 lagi pemilik akaun media sosial atas kesalahan yang sama.

Mengulas lanjut, ahli Parlimen Seri Iskandar itu menasihati rakyat sentiasa sedar akan impak penyalahgunaan media sosial, menyarankan pengguna media sosial menentukan kesahihan sesuatu mesej sebelum berkongsi dengan orang lain.

Beliau turut berkongsi pengalamannya yang pernah menjadi mangsa fitnah di media sosial.

“Pembohongan lapuk di media sosial dihidupkan kembali bagi memomokkan saya sebagai seorang yang kononnya anti-Melayu, anti-Islam, komunis, malah, dituduh mempunyai pertalian darah dengan Chin Peng.

“(Saya) dituduh mendalangi rusuhan 13 Mei 1969, malah difitnah memimpin demonstrasi di Kuala Lumpur sambil melaungkan slogan anti-Melayu dan anti-Islam sedangkan saya sebenarnya tidak berada di Kuala Lumpur selepas pilihan raya umum 10 Mei 1969,” katanya.

Selain itu, Lim juga difitnah akan menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan menang PRU14, dan apabila ia tidak menjadi kenyataan, beliau dituduh mempunyai kuasa besar dalam PH dan menjadikan Dr. Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Wan Azizah Wan Ismail dan Mohamad Sabu sebagai boneka. – FMT

Loading...