10 Ambulans ‘Percuma’ Di Kawasan Konflik Somalia

MOGADISHU – Hasil inisiatif seorang warga Somalia, Abdikadir Adem, yang terpaksa ‘mengorek’ seluruh duit tabungannya, kini negara bergolak di benua Afrika itu mampu bangkit berbangga.

Langkah beliau kira-kira 10 tahun lalu itu, menjadi perintis lahirnya ‘armada’ ambulans tempatan dikenali sebagai Aamin Ambulance yang berkhidmat tanpa jemu dan gentar di kawasan konflik bersenjata di sekitar ceruk Somalia.

Ilham pewujudan perkhidmatan ambulans secara percuma itu tercetus ketika Abdikadir menghantar seorang jiran yang luka parah tetapi akhirnya meninggal di dalam kereta sorong ketika dalam perjalanan ke sebuah hospital.

Insiden tragik disaksikan di depan matanya itu lantas menimbulkan idea untuk menggerakkan satu perkhidmatan ambulans ‘swasta’ yang dapat menyelamatkan mangsa langsung di sekitar kawasan bergolak tanpa apa-apa caj.

Sebuah van terpakai yang agak kemek di sana sini kemudian diubah suainya menjadi ambulans. Kenderaan yang pertama kali digunakan untuk operasi kecemasan itu sebenarnya berasal dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Abdikadir ialah seorang doktor gigi, tetapi perang saudara di Somalia turut berdampak pada keluarganya sendiri. Abangnya maut dalam ledakan bom bahkan seorang tetangganya pernah mati ketika dikejarkan ke hospital.

“Itu sangat ngeri. Kami harus melakukan sesuatu,” kata lelaki berusia 40 tahun itu. Sepuluh tahun berlalu, kini Abdikadir sudah mampu merealisasikan cita-cita mulianya, memiliki pasukan ambulans untuk operasi 24 jam.

Hari ini beliau tidak lagi bergerak sendirian apabila sudah mampu ada pasukan perubatan. Bagi masyarakat di ibu kota Somalia, Mogadishu, bunyi siren 10 unit Aamin Ambulance sudah menjadi sebahagian kehidupan harian.

Meskipun hanya merupakan van buruk diimport dari Dubai yang berharga 2.9 juta shiling Somali (kira-kira RM22,000), ambulans itu dilengkapi segala peralatan kecemasan, pengusung dan ubat untuk rawatan awal.

Somalia tidak pernah beristirahat daripada konflik sejak tahun 1991. Dalam perang antara kumpulan militan Islam dan pasukan pemerintah sepanjang tahun lalu, lebih daripada 700 orang awam terbunuh akibat serangan bom.

Pasukan Aamin Ambulance diletakkan bersiap siaga membantu sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan. Malahan pernah salah sebuah van itu berada di sebelah seorang pengebom bunuh diri meledakkan dirinya.

Secara keseluruhan, ada lebih 1,000 serangan bom pada tahun lalu sahaja dan Aamin Ambulance satu-satunya perkhidmatan ambulans percuma di Somalia, waima mereka sendiri pun bertarung nyawa ditembak bertubi-tubi.

Kos pengendalian pasukan itu sebanyak 6.9 juta shilling Somali (RM53,000) setiap bulan meliputi bayaran untuk gaji petugas, bahan bakar dan peralatan yang kebanyakan dana disumbangkan dana oleh organisasi internasional.

Abdikadir yang mendapat ijazah di Pakistan pada 2005 namun bersyukur, seorang dermawan Abdul Sattar Edhi yang mengasaskan rangkaian perkhidmatan ambulans percuma di seluruh dunia, turut banyak membantu dirnya.

Pengasas Yayasan Edhi di Pakistan yang beberapa kali dicalonkan untuk Anugerah Nobel Keamanan itu meskipun sudah meninggal dunia tahun lalu, banyak memberi inspirasi kepada Abdikadir. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA