Tiada Internet Ketika Hari Nyepi

BALI – Sempena Hari Nyepi Sabtu ini, semua aktiviti harian penduduk di Pulau Bali, termasuk perkhidmatan Internet di telefon bimbit dihentikan.

Pada hari Nyepi atau hari sepi yang disambut sempena Tahun Baru Hindu itu, semua penduduk biasanya duduk dalam rumah dan tidak melakukan sebarang aktiviti.

Bagi penganut Hindu di Bali, mereka dilarang menyalakan api, keluar rumah, berhibur malah sebahagian daripada mereka tidak makan atau bercakap pada hari berkenaan.

Lapangan terbang di pulau itu juga bakal ditutup selama 24 jam pada hari berkenaan.

“Ramai penganut agama Hindu ketagih dengan gajet. Saya berharap mereka menjadikan Hari Nyepi untuk menilai diri mereka semula,” kata ketua Persatuan Hindu Bali, Gusti Ngurah kepada BBC.

Pengarah pejabat Kementerian Komunikasi di Bali, Nyoman Sujaya kelmarin mengumumkan perkhidmatan Internet pada telefon bimbit akan ditutup sementara tetapi sambungan Internet lain akan beroperasi seperti biasa.

“Sambungan wifi di hotel, Internet di lokasi perkhidmatan awam dan lokasi penting seperti lapangan terbang, perkhidmatan keselamatan dan bank beroperasi seperti biasa,” katanya. – Agensi/myMetro Online

Loading...