Tak Mengaku Samun Pasangan Etnik Rohingya

KUALA LUMPUR – Seorang penghantar surat khabar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap sepasang suami isteri etnik Rohingya dan melarikan wang RM1,500, dua unit telefon bimbit dan dua kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) milik pasangan itu.

K. Sankar, 32, didakwa bersama dua orang yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan terhadap Ismail Abul Kassim dan Robizah Khatu Abdul Munaf melibatkan kerugian RM2,500 di belakang blok 60, Flat Sri Sabah, Cheras pada 9.15 malam, 24 April lepas.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farith Muhammad Faizal tidak menawarkan wang jaminan, bagaimanapun tertuduh memohon jaminan yang rendah kerana mempunyai pendapatan yang tidak tetap.

Hakim Dr Gan Chee Keong membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta beberapa syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berdekatan kediaman setiap dua minggu sekali, perlu berkelakuan baik dan menjauhi mangsa.

Di mahkamah sama, seorang lelaki Shahril Azhar Mohamed Rani, 39, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sebilah keris berukuran 22 sentimeter tanpa kebenaran yang sah di tempat awam iaitu di Petronas Jalan Semilang, Taman Tenaga, Cheras pada 6.15 petang, 28 April lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Muhammad Farith tidak menawarkan wang jaminan, dan mahkamah menetapkan 16 Mei untuk sebutan bagi kedua-dua kes berkenaan. – BERNAMA

Loading...