Tak Benar Tiada Subsidi Untuk Rakyat, Tohmahan Semata

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia seharusnya tidak terpengaruh dengan tuduhan bahawa kerajaan langsung tidak menyediakan subsidi untuk rakyat kerana tohmahan tersebut adalah tidak benar sama sekali, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menegaskan bahawa kerajaan membelanjakan peruntukan yang banyak untuk subsidi dalam pelbagai sektor, perdana menteri berkata beliau mendengar seruan meminta kerajaan menyediakan subsidi untuk rakyat mengurangkan kos sara hidup.

“Seperti yang diumumkan dalam Bajet 2018, sebanyak RM3.9 bilion disediakan untuk subsidi barang dan pengangkutan seperti gas memasak, tepung, minyak masak, dan banyak lagi.

“Selain subsidi untuk barang, terdapat subsidi elektrik dan tol supaya kenaikan kadar elektrik dan tol dapat dielakkan. Kerajaan juga memperuntukkan subsidi kesihatan yang tinggi setiap tahun,” katanya menerusi catatan di blog rasmi www.najibrazak.com beliau, hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, menjelaskan sebanyak RM26.5 bilion disediakan untuk penjagaan kesihatan pada 2018 meskipun kutipan dalam sektor itu hanya RM600 juta, menjadikan perbelanjaan selebihnya ditanggung penuh kerajaan.

Sejak 2012, beliau berkata yuran wajib dikecualikan sepenuhnya di sekolah kerajaan dan kerajaan turut membiayai kira-kira 90 peratus daripada yuran pengajian universiti.

“Contohnya, yuran program pengajian perubatan sebelum subsidi adalah sebanyak RM289,885. Namun selepas subsidi, pelajar hanya perlu membayar yuran RM9,000 sahaja sepanjang tempoh pengajian.

“Ini satu lagi contoh bagaimana subsidi pendidikan disalurkan,” katanya.

Bagi sektor perumahan, Najib berkata kerajaan menyediakan subsidi dalam bentuk bantuan deposit iaitu Skim MyDeposit dan subsidi rumah kos rendah seperti Program Perumahan Rakyat, Rumah Generasi Kedua Felda, Rumah Bina Negara Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan banyak lagi. – BERNAMA

Loading...