Serbuk Kunyit Rupanya Ketamin

NILAI – Taktik seorang lelaki membawa bungkusan didakwa sebagai serbuk kunyit dalam bagasinya gagal apabila pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mendapati serbuk itu adalah ketamin bernilai RM900,000.

Lelaki berusia 37 tahun itu menaiki penerbangan dari Mumbai, India ditahan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10.45 pagi, 13 Oktober lalu.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan/Pematuhan) Datuk Zulkifli Yahya berkata, pemeriksaan anggota JKDM dalam bagasi dibawa suspek menemui dua bungkusan serbuk berwarna coklat.

“Suspek mendakwa bungkusan itu mengandungi serbuk kunyit yang dibeli dari sebuah pasar raya di Mumbai bagi dijadikan bahan campuran untuk menghasilkan minuman kesihatan.

“Namun, hasil ujian saringan Jabatan Kimia mengesahkan serbuk berkenaan mengandungi dadah jenis ketamin dianggarkan seberat 20 kilogram dengan nilai pasaran RM900,000,” katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik JKDM, Kampung Jijan di sini, semalam.

Zulkifli berkata, suspek direman sehingga Isnin depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan seperti dadah, rokok, minuman keras dan mercun dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855 atau CawangaKetaminn Narkotik JKDM di talian 06-7917587 atau 06-7917792 atau 06-7917987. – myMetro Online

Loading...