Pulau Batu Puteh: Pemuda UMNO Selar PM Singapura

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong yang dilaporkan memperlekeh permohonan Malaysia untuk semakan keputusan terhadap tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh.

Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin berkata tuduhan Lee kononnya niat sebenar tuntutan Malaysia adalah kerana pilihan raya umum, merupakan tuduhan tidak bertanggungjawab, yang boleh merosakkan hubungan baik antara Malaysia dan Singapura.

Katanya sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia telah memfailkan permohonan berkenaan pada 2 Feb 2017 berdasarkan penemuan fakta baharu menerusi tiga dokumen dalam Arkib Negara United Kingdom pada 4 Ogos 2016.

“Keputusan membuat permohonan ini dalam masa enam bulan selepas penemuan fakta baharu adalah hak yang diberikan dan dipatuhi oleh Malaysia.

“Permohonan ini dan permohonan kedua yang dibuat pada 30 Jun lalu untuk pentafsiran penghakiman bukan dibuat secara sambil lewa tanpa asas yang kukuh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini, sebagai mengulas kenyataan perdana menteri Singapura itu yang dilaporkan berkata niat sebenar tuntutan Malaysia terhadap Pulau Batu Puteh adalah kerana pilihan raya umum.

Menurut Khairy, semasa penemuan fakta baharu pada Ogos 2016, pilihan raya umum Malaysia masih belum diumumkan.
Pemfailan pada 2 Februari 2017 pula dibuat bagi memberi masa penyediaan dokumen dalam tempoh enam bulan yang diberikan, jelasnya.

Sebagai peringatan, kata Khairy, Parlimen Malaysia masih belum lagi dibubarkan sehingga hari ini, lebih setahun dari tarikh penemuan fakta baharu tersebut.

“Memang mudah untuk meraih sokongan politik dengan membuat tuduhan terhadap negara lain seperti mana yang dibuat Perdana Menteri Lee Hsien Loong dengan kenyataan beliau ini yang dibuat semasa konvensyen parti PAP.

“Namun, tidak seperti beliau, Malaysia memandang serius isu kedaulatan sepanjang masa dan bukan semata-mata untuk meraih sokongan semasa pilihan raya atau konvensyen politik sahaja,” kata Khairy. – BERNAMA

Loading...