Mahkamah Keluar Waran Tangkap Jho Low, Bapa

PUTRAJAYA – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low dan bapanya, Tan Sri (Larry) Low Hock Peng.

Mereka berdua dikehendaki pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung tuduhan pengubahan wang haram berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

Sumber memberitahu NSTP, waran tangkap itu dikeluarkan selepas mahkamah membenarkan permohonan polis dan Pejabat Peguam Negara untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap dua individu berkenaan, yang dipercayai sudah melarikan diri ke luar negara.

Menurut sumber, waran tangkap itu untuk membolehkan polis Malaysia mendapatkan kerjasama polis antarabangsa (INTERPOL) untuk mengeluarkan notis merah bagi menjejaki kedua-dua individu berkenaan.

Permohonan yang difailkan di Mahkamah Sesyen di sini pagi tadi juga bagi membolehkan kerajaan memohon perintah ekstradisi terhadap Jho Low dan bapanya yang dipercayai bersembunyi di China atau Abu Dhabi.

Sementara itu, menurut laporan The Edge, Jho Low dipercayai dikenakan lapan tuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan, 2001 (Akta 613) kerana memindahkan wang tunai.

Menurut laporan itu, Hock Peng turut berdepan satu tuduhan memindahkan AS$56 juta (RM230 juta) kepada anaknya.

Keseluruhan jumlah dalam urus niaga terbabit dianggarkan sebanyak AS$261 juta (lebih RM1 bilion) untuk penerimaan wang dan AS$196 juta (kira-kira RM805 juta) untuk pemindahan wang tunai yang dilakukan melalui akaun berasingan di Bank BSI Singapura antara Disember 2013 dan Jun 2014.

Sebahagian besar wang itu digunakan untuk membeli kapal persiaran mewah Equanimity bernilai AS$250 juta (RM1 bilion).

Media sebelum ini melaporkan, Peguam Negara Amerika Syarikat (AS), Jeff Sessions menggambarkan skandal 1MDB sebagai ‘kleptokrasi paling buruk’.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) turut menggelar 1MDB sebagai kleptokrasi terbesar di dunia dan badan perundangan negara lain seperti Switzerland dan Singapura sudah mengambil tindakan terhadap bank serta individu berhubung dakwaan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB. – BH Online

Loading...