Lelaki Sumbat Anak Saudara Dalam Mesin Basuh Dipenjara 2 Bulan

KUALA KUBU BHARU – Lelaki yang videonya tular kerana memasukkan anak saudara lelakinya ke dalam mesin basuh di sebuah dobi…

KUALA KUBU BHARU – Lelaki yang videonya tular kerana memasukkan anak saudara lelakinya ke dalam mesin basuh di sebuah dobi layan diri di Bukit Sentosa, bulan lalu dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini,

Hakim Azmil Muntapha Abas menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Irwan Abdul Jalil, 27, jurujual, selepas tertuduh menukar pengakuan bersalah dalam sebutan kes itu, hari ini.

Mahkamah memerintahkan Muhammad Irwan menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkapan, 3 Oktober lalu.

Dalam penghakimannya, Azmil berkata, mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam selain kes dihadapi tertuduh itu tular di media sosial.

Menurutnya, peralatan di kedai dobi bukanlah untuk bergurau, tetapi untuk membasuh dan mengeringkan pakaian.

“Bahaya terhadap kanak-kanak yang dimasukkan ke dalam mesin basuh itu jika ia berpusing.

“Justeru, mahkamah perlu memberikan hukuman berbentuk pengajaran sebagai amaran kepada orang ramai supaya tidak menyalahgunakan peralatan kedai dobi,” katanya.

Dalam pada itu, ketika disoal Azmil sama ada tertuduh sudah memohon maaf terhadap kakaknya (ibu kepada mangsa), Muhammad Irwan yang berada di dalam kandang tertuduh tunduk dan berkata dia sudah berbuat demikian.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memasukkan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dalam mesin basuh di mana perbuatan itu dilakukan secara tergopoh-gopoh hingga membahayakan keselamatan kanak-kanak itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kedai Dobi Laundrybar No11&11-1 Jalan Orkid 1G/2 Sek BS1 Bandar Bukit Sentosa, Hulu Selangor jam 12.30 tengah malam, 2 Oktober lalu.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu dalam rayuannya memohon hukuman ringan atas alasan dia bekerja sebagai jurujual dengan pendapatan RM1,000 sebulan selain menanggung ibu dan adik bongsunya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azhwa Yusrie Mohamad memohon hukuman berbentuk pengajaran supaya tertuduh dan orang lain tidak mengulangi kesalahan sama.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, ketika pengadu yang merupakan kakak kepada tertuduh sedang mencuci baju di kedai dobi itu, mangsa yang berusia tiga tahun dimasukkan ke dalam mesin basuh yang kemudian terkunci secara automatik.

Pengadu yang panik meminta pertolongan daripada orang ramai dan mangsa berjaya dikeluarkan. Ekoran kejadian itu, pengadu membuat laporan polis yang kemudian tertuduh berjaya ditangkap pada jam 2.50 pagi keesokan harinya.

Sebelum ini, media melaporkan gurauan melampau bapa saudara menyebabkan kanak-kanak terbabit terperangkap hampir 10 minit dalam mesin basuh di sebuah dobi layan diri.

Difahamkan, tindakan lelaki itu bergurau dengan anak saudaranya tidak disedari ibu kanak-kanak terbabit yang membasuh pakaian di premis itu jam 12.30 tengah malam.

Tindakannya memasukkan kanak-kanak terbabit dalam mesin basuh mengundang padah apabila pintu mesin basuh itu tidak dapat dibuka.

Kanak-kanak itu hanya dapat diselamatkan selepas beberapa individu memecahkan cermin pintu mesin basuh selepas usaha mengeluarkannya gagal.

Video kejadian berdurasi dua minit 46 saat turut tersebar di media sosial, memaparkan beberapa individu cuba menyelamatkan kanak-kanak berkenaan. – BH Online

Loading...