Klip Audio: SPRM Dijangka Panggil Najib, Rosmah Petang Ini

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dijangka dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari ini bagi memberi keterangan berhubung rakaman audio yang didedahkan suruhanjaya itu sebelum ini.

Sumber SPRM berkata Najib dan Rosmah akan dipanggil hadir di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca), di sini pada kira-kira pukul 2.30 petang ini.

“Kedua-dua mereka (Najib dan Rosmah) dipanggil untuk memberi keterangan berhubung rakaman audio bagi melengkapkan siasatan SPRM,” katanya kepada Bernama.

Sumber itu berkata mereka akan dipanggil SPRM selepas selesai diambil keterangan di Bukit Aman, di sini pagi ini.

Sebelum ini, Bernama melaporkan polis telah mengambil keterangan 12 saksi bagi membantu siasatan pendedahan sembilan rakaman audio oleh SPRM yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi.

Mereka yang telah dirakam percakapan termasuk Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib iaitu Tan Sri Shukry Mohd Salleh dan bekas Pegawai Khas Najib iaitu Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.

Pada 8 Januari lepas, SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan yang didakwa melibatkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib, semasa beliau menjadi perdana menteri, dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad serta SRC International Sdn. Bhd.

Rakaman audio itu dipercayai rakaman perbualan melibatkan Rosmah, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.

Loading...