Jurujual Didakwa Pandu Bahaya Punca Warga Emas Maut

KUALA LUMPUR – Seorang jurujual lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang wanita warga emas, tahun lepas.

Cheok Chuan Huei, 36, didakwa telah memandu kenderaannya secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Lai Nyiat Min, 75, yang sedang berjalan kaki selepas berjoging di Jalan 2/16, Pandan Perdana, pada 8 pagi, 3 Jan 2017.

Bapa tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda hingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan memohon mahkamah menggantung lesen tertuduh hingga kes selesai.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana dia menyara keluarga dengan pendapatan RM2,500 sebulan.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan lesen tertuduh digantung hingga kes selesai serta menetapkan 5 April untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen. – BERNAMA

Loading...