Jenama Tempatan Juga Bermutu Di Pasaran

KREATIF… Pertandingan Reka Cipta Iklan Komersial 2018 anjuran Bahagian Pembangunan Perniagaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)…

KREATIF… Pertandingan Reka Cipta Iklan Komersial 2018 anjuran Bahagian Pembangunan Perniagaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kali ini lebih meriah.

Ia turut mengenengahkan 11 jenama produk tempatan yang berpotensi di pasaran untuk dijadikan bahan iklan setiap peserta daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta sama ada karya dalam bentuk video atau poster.

Berikut ialah antara beberapa syarikat yang terlibat sebagai bahan dalam pertandingan tersebut ketika ditemui Mynewshub di KPDNHEP Putrajaya baru-baru ini bercerita mengenai keunikan produk keluaran masing-masing:

Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Ismainur Hadi Amat Bakeron; Pengerusi Dr. Aishah Solution, Dr. Aishah Tul Radziah dan suami, Dr. Fisol Ahmad.

DASTO: Dikeluarkan pada tahun 2010, menurut Pengerusi Dr. Aishah Solution, Dr. Aishah Tul Radziah, jenama makanan berkhasiat ini berjaya dieksport ke luar negara antaranya di Emiriah Arab Bersatu, Brunei dan Jepun.

Memiliki kilang di Kedah Halal Park, Sungai Petani sejak 2013 lalu, doktor perubatan ini yang turut mempunyai dua buah klinik wanita di negeri utara semenanjung itu berkata, produknya banyak berasaskan bijirin oat.

“Dapat idea lebih 13 tahun lalu dan mula buat produk daripada gandum sebelum fokus kepada oat. Meskipun baru di pasaran, Dasto sudah diiktiraf di peringkat global dengan raih banyak anugerah sejak 2014,” kata Dr. Aishah.

Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Ismainur Hadi Amat Bakeron; Ketua Pegawai Eksekutif Wonderland Primary, Leny Adam.

ASIANIC: Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Wonderland Primary, Leny Adam, syarikat itu banyak menghasilkan produk penjagaan kesihatan sejak 2008 bermula dengan jenama watak animasi Upin Ipin dan BoBoiBoy.

Syarikat berpangkalan di Taman Desaria, Petaling Jaya, Selangor ini kemudian mengeluarkan dua produk terbaharu jenama Asianic berasaskan buah pic dan susu yang cukup selamat untuk seisi keluarga termasuk kanak-kanak.

“Kandungan produk kami lebih berasaskan bahan-bahan terpilih dan mudah didapati di semua rangkaian pasar raya besar, kedai serbaneka, farmasi terpilih selain boleh ditempah menerusi portal beli-belah elektronik,” katanya.

Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Ismainur Hadi Amat Bakeron; Ketua Pengawai Eksekutif Munif Hijjaz, Abdul Malek Manap.

MUNIF HIJJAZ: Syarikat ini mungkin lebih dikenali kerana kumpulan nasyid Hijjaz namun menurut Ketua Pengawai Eksekutifnya, Abdul Malek Manap, ia juga banyak hasilkan lebih 20 produk makanan sejak tahun 2010.

Berpusat di Alam Damai, Cheras dekat ibu negara, syarikat tersebut boleh dianggap antara perintis makanan berasaskan sunah Rasulullah SAW yang kini semakin popular di seluruh negara kerana dikatakan lebih sihat.

“Terbaharu kami turut keluar produk Arabic Gum yang berdasarkan gentian terpilih baik untuk usus tubuh selain aktif pasaran eksport terutama ke Brunei sepanjang tahun ini,” katanya yang berkolaborasi dengan penyanyi Munif.

Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Ismainur Hadi Amat Bakeron; Ketua Pegawai Eksekutif Adyza Marketing Consultant, Norhazliza Md. Hashim.

B.SERIES: Dapat ilham untuk tubuh Adyza Marketing Consultant selepas suaminya meninggal dunia kerana hidap kanser akibat banyak gula dalam badan, Norhazliza Md. Hashim tekad bangkit menerusi produk berasaskan madu.

Selaku Ketua Pegawai Eksekutif, beliau yang berpegalaman luas sebagai konsultan untuk kerajaan negeri Melaka dan Terengganu sejak 2004, kemudian mewujudkan syarikat itu pada 2013 yang berpusat di Kerubung, Melaka.

“Produk ini sudah tembusi pasaran rantau Timur Tengah dan China selain pasar raya tempatan. Kami juga hasil sabun berasaskan madu dan rancang keluarkan coklat madu untuk galak rakyat amal gaya hidup sihat,” katanya.

Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Ismainur Hadi Amat Bakeron; Pengarah Urusan NFA Technologies, Noormawarni Nordin.

MISMIS: Jangan terkejut, Pengarah Urusan NFA Technologies, Noormawarni Nordin ini ada agensi terjemahan dengan lebih 200 jurubahasa tetapi bekerjasama dengan Lembaga Koko Malaysia untuk buat produk sendiri.

Justeru, barangan penjagaan mulut keluaran syarikatnya lebih berasaskan ekstrak koko kerana idea timbul selepas sering ngilu gigi. Ini termasuk ubat gigi tanpa bahan florida yang bebas bahan kimia tertentu dan bersifat alami.

“Ia juga diperbuat daripada kelapa, bunga cengkih dan minyak zaitun yang sesuai untuk semua peringkat usia kerana lembut pada lidah dan gusi. Produk ini juga dalam proses dieksport ke Maghribi,” jelas beliau. – Mynewshub.tv

Loading...