Iran, Rusia Meterai MoU Suruhanjaya Ekonomi Bersama

MOSCOW – Iran dan Rusia telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama antara Kementerian Tenaga Rusia dan Kementerian Petroleum Iran berhubung saluran paip gas Iran-India-Pakistan, lapor Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA).

Perjanjian itu meliputi kerjasama dalam bidang geologi; pembiayaan dan pelaburan di lombong Iran serta sektor industri; dan pengendalian penyelidikan bersama serta pembangunan sumber-sumber Laut Kaspia.

Menurut IRNA, beberapa MoU lain mengenai kerjasama dalam bidang seni dan kebudayaan, pengangkutan serta transit barangan antara Iran, Rusia dan Kazakhstan selain pertukaran gandum turut dimeterai semasa mesyuarat Suruhanjaya Kerjasama Ekonomi ke-14 berlangsung di sini.

MoU itu ditandatangani Menteri Ekonomi dan Hal Ehwal Kewangan Iran, Masoud Karbasian, dan Menteri Pembangunan Ekonomi Rusia, Maxim Oreshkin.

Menteri Iran, yang mengetuai delegasi 75 anggota, tiba di Moscow pagi Ahad untuk menghadiri mesyuarat suruhanjaya itu.

Delegasi Iran terdiri daripada pegawai kerajaan seperti timbalan-timbalan menteri industri, perdagangan, jihad pertanian, petroleum, kesihatan, tenaga, dalam negeri dan jalan raya serta pembangunan bandar selain aktivis ekonomi dari sektor swasta. – BERNAMA\


\

Loading...