Bunuh Anak OKU Takut Tiada Penjaga

BEIJING – Seorang wanita berusia 83 tahun dari selatan China dikenakan hukuman tergantung selama tiga tahun atas tuduhan membunuh anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) berusia 46 tahun kerana bimbang tiada sesiapa dapat menjaga lelaki itu selepas kematiannya.

Mahkamah di Guangzhou, ibu negeri wilayah Guangdong mendapati wanita yang dikenali sebagai Huang itu, bersalah atas jenayah berkenaan, namun diberi pertimbangan berdasarkan keadaan kes terbabit, lapor Beijing Youth Daily pada Isnin.

“Dia layak mendapat belas ihsan walaupun melanggar undang-undang,” kata presiden mahkamah dan ketua hakim, Wan Yunfeng.

Ketika pendengaran di mahkamah pada 9 Mei lalu, Huang dikatakan memberi makan kira-kira 60 biji ubat tidur kepada anaknya, Li dan mencekik lelaki terbabit menggunakan skaf sutera sambil menekap hidungnya menggunakan pad kapas.

Dalam perbicaraan pada 21 September lalu, wanita berkenaan mengatakan dia membunuh anaknya kerana bimbang tiada siapa akan menjaga Li selepas dia meninggal dunia dan menyerah diri kepada pihak polis pada hari yang sama.

Menurutnya, dia mengambil tindakan drastik itu selepas kesihatannya semakin terjejas dua tahun lalu.

“Saya tidak pernah berputus asa dengan dia. Dia anak saya,” kata Huang ketika ditanya sama ada pernah terlintas di fikirannya sebelum ini untuk membunuh anaknya.

Li dilahirkan pramatang dan mengalami kecacatan fizikal serta mental hingga menyebabkannya tidak dapat berjalan atau bercakap, manakala keadaannya semakin teruk sebelum kematiannya.

“Saya semakin tua dan lemah, mungkin akan meninggal dunia sebelumnya.

“Idea untuk membunuhnya terlintas kira-kira seminggu sebelum (pembunuhan) dan ia bukan keputusan yang mudah dicapai,” katanya ketika menyerah diri kepada polis.

Wanita itu berkata, dia turut menulis sekeping nota sebelum memberi pil tidur kepada Li yang menjelaskan bahawa semua itu perbuatannya dan sama sekali tidak berkaitan dengan orang lain.

Ketika ditanya pendakwa raya di mahkamah mengapa dia tidak menyerahkan Li untuk dijaga oleh abangnya, Huang mengatakan dia tidak mahu menyusahkan abangnya. – Agensi/myMetro Online

Loading...