Biarlah PM Tentukan Siapa TPM – Hadi

MARANG – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bersikap terbuka terhadap cadangan yang mahukan beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, beliau mengambil sikap keterbukaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi tidak mewajibkan dirinya dipilih bagi jawatan terbabit.

Secara berseloroh, katanya beliau sanggup menjadi nelayan kerana hanya mahu bekerja untuk negara, apatah lagi pencalonan itu datang dari rakyat biasa, sedangkan pelantikan mestilah daripada pencalonan oleh Perdana Menteri.

“Ada orang syok kalau orang calonkan dia…tetapi saya tak syok orang calonkan saya. Kita mengharapkan semuanya yang bakal dilantik adalah dalam kalangan yang sanggup berkerja kuat,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila, di sini, hari ini. Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Abdul Hadi menegaskan, tumpuan utama ketika ini adalah menyelesaikan masalah rakyat terutamanya membabitkan kos sara hidup, ekonomi, gejala sosial, isu perpaduan, selain masalah pembangunan insan yang mesti diberi perhatian.

Tegasnya, PAS tetap beristiqamah, konsisten dengan pendirian iaitu memilih anggota Kabinet yang punya integriti, bersih, berkepakaran dan terdiri daripada kalangan ahli politik serta profesional.

Justeru, PAS katanya, menyerahkan kepada kebijaksanaan kepada Perdana Menteri, untuk memilih barisan Menteri Kabinet dalam kalangan pemimpin parti itu.

Beliau berkata, menjelaskan pihaknya hanya menyerahkan cadangan konsep, terutamanya mengambil kira masyarakat majmuk termasuk bukan Islam untuk menganggotai barisan Kabinet.

“Walaupun pemimpin parti bukan Islam tidak ramai dalam Perikatan Nasional (PN), tetapi mereka perlu dilantik dalam kalangan yang menyokong, selain golongan profesional dan juga Ahli Parlimen dari Sabah serta Sarawak.

“PAS menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk menilai, tetapi tentulah akan mengambil kira jumlah kerusi parti komponen dalam PN.

“Walaupun jumlah kerusi kalangan bukan Islam sedikit, tetapi kita perlu mengambil kira sokongan mereka kepada Perdana Menteri,” katanya. – BH Online

Loading...