Aplikasi Cari Madu Di AyoPoligami

JAKARTA – Satu aplikasi yang dikhaskan untuk lelaki dan wanita yang berminat dalam perkahwinan poligami makin popular di Indonesia walaupun mencetuskan perdebatan dan kontroversi.

Amalan poligami untuk lelaki Islam mengahwini empat isteri pada satu masa dibenarkan di Indonesia.

Pencipta aplikasi yang dikenali sebagai AyoPoligami, Lindu Pranayama, 35, berkata, dia mendapat idea mencipta platform itu setahun lalu ketika melihat satu aplikasi mencari jodoh.

“Ramai lelaki yang saya lihat mahu berpoligami tetapi aplikasi atau laman sesawang mencari jodoh yang ada tidak menawarkan pilihan berkenaan,” katanya.

AyoPoligami makin popular apabila mempunyai lebih 10,000 pengguna berdaftar sejak dilancarkan pada April lalu dan 60 peratus daripada mereka adalah lelaki.

Aplikasi itu juga mempunyai ruang sembang khas untuk pengguna berkongsi pengalaman berpoligami atau meminta nasihat.

Pengguna juga boleh melihat profil pengguna yang lain sebelum berhubung atau mengaturkan pertemuan untuk berjumpa, sama seperti aplikasi mencari jodoh popular, Tinder.

Mengikut undang-undang di Indonesia, seorang lelaki perlu mendapat kebenaran isteri pertama dan kelulusan mahkamah syariah sebelum boleh berpoligami.

Namun, pakar undang-undang memberitahu, ramai lelaki yang mahu berpoligami cuba mengelak proses itu.

Seorang aktivis hak asasi wanita, Zakia Tunisa memberitahu, aplikasi itu sangat mengejutkan dan menyedihkan.

“Aplikasi ini memberi dorongan untuk poligami diterima dalam masyarakat dan malah memaksa wanita menerimanya,” katanya. – Reuters/myMetro Online