Zakaria Letak Jawatan Presiden, CEO FGV

KUALA LUMPUR – Datuk Zakaria Arshad telah meletak jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Bhd.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, dengan peletakan jawatan itu, penggantungannya yang diumumkan sebelum ini telah berakhir.

Bagaimanapun, penyiasatan forensik yang dinyatakan dalam kenyataan FGV daripada lembaga pengarah pada 28 Ogos akan diteruskan, katanya.

Siasatan yang dimulakan pada akhir 2017 untuk melihat pelbagai transaksi yang menyebabkan FGV terdedah kepada kerugian besar, dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.

FGV juga memberi jaminan bahawa perniagaan kumpulan akan diteruskan seperti biasa.

“Seperti yang diumumkan sebelum ini, Jawatankuasa Lembaga Khas 2 yang terdiri daripada empat Pengarah FGV, iaitu Pengerusi, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, Datuk Dr Salmiah Ahmad, Dr Mohamed Nazeeb P. Alithambi dan Datin Hoi Lai Ping akan terus melaksanakan fungsi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV,” katanya.

Zakaria digantung tugasnya untuk kali kedua pada Khamis lepas.

FGV menjelaskan bahawa penggantungan itu berikutan berakhirnya siasatan dalaman mengenai 10 isu kritikal yang mengakibatkan kerugian kewangan bagi FGV dan pemegang sahamnya.

Zakaria dalam satu kenyataan mengenai peletakan jawatannya berkata: “Saya mengambil keputusan ini setelah berfikir secara mendalam demi kebaikan semua pihak dan juga masa depan FGV. Walaupun dengan perasaan berat, saya meletakkan kepentingan FGV melepasi kepentingan saya. Saya telah bersama dengan organisasi ini sejak 35 tahun yang lalu dan saya sentiasa mahu melihat kumpulan FGV berjaya dan menjadi kebanggaan negara. ”

Menurutnya, ketika mengambil alih sebagai CEO pada 2016, syarikat itu sudah pun mengalami masalah yang serius. “Usaha saya untuk menangani masalah terbabit menghadapi pelbagai halangan daripada pelbagai sudut. Saya harap keadaan ini akan segera diselesaikan dengan kepimpinan pengerusi dan lembaga pengarah,” katanya.

Zakaria berkata, beliau yakin kepimpinan pengerusi dan lembaga pengarah akan mampu memacu kumpulan itu ke tahap yang lebih baik dan mampu menyelesaikan pelbagai isu legasi yang dihadapinya.

“Saya mendoakan rancangan lembaga pengarah untuk memulihkan kumpulan akan berjaya mencapai matlamatnya,” katanya. – BERNAMA

Loading...