Warga Thai Dijel Simpan Jerat, Kura-kura Liar

KUALA TERENGGANU – Dua beranak warga Thailand dihukum penjara empat tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan di bawah Akta Pemulihan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) Jun lalu.

Tertuduh, Canthi Cantupa , 44, yang juga bapa kepada tertuduh kedua, Pipop Cantupa, 18, dituduh menyimpan 13 utas jerat dawai dan menyimpan Kura-kura Duri Bukit dalam kawasan Hutan Simpan Jengai, Dungun 21 Jun lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29(1)(a) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(2)(a) serta melakukan kesalahan di bawah Seksyen 68(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Bagi kedua-dua kesalahan tersebut, tertuduh boleh dihukum di bawah akta yang sama yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Hakim Azman Mustapha kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan namun membenarkan hukuman dijalankan serentak mulai tarikh tertuduh ditangkap.

Kedua-dua tertuduh yang berpakaian penjara berwarna ungu kemudian mengangguk tanda faham mengenai hukuman yang dijatuhkan ke atas mereka selepas dibacakan oleh penterjemah Bahasa Thai.

Mereka dihantar ke Penjara Marang bagi melaksanakan hukuman penjara bermula hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Perhilitan Terengganu, Zaitul Hazlin Mat Jusoh. – BERNAMA

Loading...