Warga Nepal Maut Digilis Tayar Treler

MUAR – Seorang lelaki warga Nepal maut manakala rakannya cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan di Kawasan Perindustrian Jalan Kempas, Pagoh di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, penunggang motosikal, Bayal Koti Arjun, 23, maut di tempat kejadian akibat cedera parah pada badan selepas digilis treler berkenaan.

Sementara pemboncengnya juga lelaki warga Nepal berusia lingkungan 20an, hancur kaki kanan akibat digilis tayar treler itu ketika cuba menyelamatkan mangsa yang terjatuh di bawah kenderaan berkenaan.

Dia kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini.

Mangsa merupakan pekerja estet berhampiran, menaiki motosikal dari arah Pagoh menghala ke Muar dipercayai merempuh belakang treler terbabit yang sedang berundur.

Pemandu treler bagaimanapun, menyedari insiden itu selepas terdengar bunyi dentuman kuat dari arah belakang kenderaan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Muhammad Hanif Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke rumah mayat HPSF untuk bedah siasat dan keadaan rakannya yang cedera parah dilaporkan stabil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan minta saksi kejadian tampil membantu siasatan,” katanya. – Sinar Harian Online

Loading...